2011 Tahun Perubahan

Friday, December 31, 2010

Salam ukhuwah dan selamat menghadapi imtihan yang akan mendatang serta tidak dilupa selamat menyambut tahun baru 2011 kepada semua pelawat blog Hisbah Tanta khususnya, warga Tanta amnya serta mahasiswa-mahasiswi yang berada dibumi Ambia' ini.. 

Kedatangan tahun baru masihi sangat dirasai oleh kita semua disebabkan penggunaannya yang lebih meluas dan lebih biasa, adapun tahun baru Hijrah sudah lepas beberapa hari yang lalu dan tidak dirasai oleh orang-orang yang kurang mengambil tahu tarikh-tarikh penting dalam Islam.
Dengan kedatangan tahun baru ini, Unit Hisbah Tanta telah mengadakan gerak pantauan seluruh kawasan di bumi Tanta ini. Pantauan ini dibuat untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku ke atas mahasisiwa-mahasiswi di Muhafazah Tanta.

Bertepatan dengan tempoh yang hampir dengan peperiksaan yang akan menjelma ini kami menyeru kepada semua pihak supaya tidak menjadikan sambutan tahun baru ini untuk melakukan maksiat, sesungguhnya orang-yang selalu melakukan perkara yang mendekati zina akan tidak segan melakukan zina.

Bebaskan diri anda dari maksiat, selamat menepuhi peperiksaan yang akan datang, fokus dalam mengulangkaji pelajaran dan bermunajat kepada Allah supaya mendapat kejayaan yang diredhai lagi diberkati.

Semoga Kejayaan Milik Kita Bersama..

Ketua HISBAH PMRAM Cawangan Tanta

TAHUN BARU 2011 : TAHUN JAUHI MAKSIAT

Thursday, December 30, 2010

Selamat menyambut tahun baru kepada semua pelawat blog hisbah khususnya mahasiswa-mahasiawa yang berada di bumi Mesir. Kedatangan tahun baru masihi sangat dirasai oleh kita semua disebabkan penggunaannya yang lebih meluas dan lebih biasa, adapun tahun baru Hijrah sudah lepas beberapa hari yang lalu dan tidak dirasai oleh orang-orang yang kurang mengambil tahu tarikh-tarikh penting dalam Islam.

Sempena malam sambutan tahun baru ini pada malam 31 Disember ,Unit Hisbah PMRAM dengan kerjasama seluruh cawangan akan mengadakan Operasi Gempur Dakwah Countdown 2011 yang mana akan menyaksikan mahasiswa di sini akan bersiar-siar dan menyambut tahun baru bersama rakan-rakan ataupun kekasih.

Statistik tahunan yang dihitung oleh Jabatan Pendaftaran Negara bahawasanya kenaikan kelahiran anak luar nikah di Malaysia meningkat sebanyak 44% sepanjang 4 tahun dai 2005 hingga 2009, dan kebanyakan anak-anak luar nikah ini adalah hasil dari hubungan seks yang dilakukan pada malam-malam perayaan seperti Valentine Day, malam Merdeka, Hari Krismas dan pada malam sambutan tahun baru, tidak terkecuali remaja-remaja yang menuntut di luar negara turut menyumbang kenaikan statistik tersebut.
Operasi itu akan menemui mahasiwa yang berada di tempat-tempat sasaran dan di edarkan risalah ataupun poster berkaitan dan pasangan-pasangan couple akan di ambil keterangan dan diberi kaunseling.

Selamat Pulang Ke Malaysia, Ustaz Hisyam sekeluarga

Tuesday, December 21, 2010

Kepulangan ahli UBM, ustaz Hisyam dan keluarga ke tanah air sangat dirasai oleh sahabat-sahabat UBM. Turut serta merasai adalah di kalangan ahli DPMT dan PCT. Ustaz Hisyam dan keluarga banyak menyumbangkan bakti buat seluruh warga Tanta selama keberadaan di bumi Mesir.

Ustaz Hisyam banyak menabur jasa untuk DPMT dengan terlibat secara langsung sebagai AJK dalam unit di bawah seliaan DPMT. Beliau juga adalah salah seorang tenaga pengajar kepada ahli DPMT dan beliau pernah juga memegang jawatan AJK UBM sesi lepas dan sesi sebelumnya.

Sumbangan dan bakti beliau sekeluarga sangat dihargai dan semoga kepulangan beliau ke tanah air memberi impak yang besar kepada masyarakat menjadi pemimpin dan pemandu untuk mencari mardhatillah. Seluruh ahli UBM dan warga Tanta mengucapkan selamat berkhidmat buat ustaz Hisyam sekeluarga.

Ahlan buat pasangan baru dan pemangku pengarah UBM pusat ke bumi Tanta

Sunday, December 12, 2010

Bumi Tanta semakin meriah dengan kehadiran pasangan baru datang daripada Malaysia iaitu ustaz Tengku Safwan bersama isteri dan juga ustaz Yusri bersama isteri dan anak berpindah rumah baru-baru ini.

Pepatah mengatakan "patah tumbuh hilang berganti" itulah perumpamaannya. Setelah sebelum ini ramai pasangan daripada UBM Tanta yang balik tamat pengajian, akan tetapi diganti dengan beberapa pasang yang akan memeriahkan lagi kekeluargaan UBM di Tanta ini.

Ustaz Yusri pemangku pengarah UBM PMRAM pusat bersama keluarga telah berpindah rumah yang sebelum ini banyak berkhidmat di Kaherah dan sekarang tinggal di rumah ustaz Khuzaimah di Syed Nawi,Tanta.

Ustaz Safwan yang juga mantan AJKT DPMT sesi lepas (ketua unit perumahan), sekarang ini menumpang sementara di rumah pengarah UBM, ustaz Faizol berikutan pencarian rumah masih lagi tidak diketemui.

Pihak UBM Tanta mengalu-alukan kedatangan pasangan yang berkahwin untuk bersama-sama meningkatkan mutu ukhwah dan kebersamaan kita khususnya dalam menghidupkan UBM Tanta pada sesi ini.

Pemergian adik sofiyyatul ulya dirasai oleh ahli UBM seluruhnya.

Saturday, December 11, 2010

"Berat mata memandang,berat lagi bahu memikul" Begitulah ujian yang diterima dan dirasi oleh pasangan ustaz Mohd Faizol Endut bersama pasangannya ustazah Siti Anisah Ahmad dengan pemergian anak tersayang pada hari Khamis lepas.

Turut dirasai oleh seluruh warga Tanta khasnya ahli UBM Pmram Cawangan Tanta. Selepas 4 bulan yang lalu ahli UBM merasai kehadiran adik Sofiyya, akan tetapi telah pun kembali menemui Allah taala. Apa pun, yakin dan percaya bahawa Allah akan menggantikan cahayamata yang lebih terbaik buat pasangan insyaALLAH.

Pihak UBM Tanta dan seluruh warga PMRAM&PCT mengucapkan takziah kepada Ustaz Mohd Faizol bin Endut dan Ustazah Siti Anisah Ahmad di atas pemergian anakanda tercinta,Sofiyyatul Ulya ke rahmatullah pada 9 Disember 2010 bersamaan 3 Muharram 1432H.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Universiti Tanta setelah dimasukkan ke wad kanak-kanak dan dipindahkan ke unit rawatan rapi. Allahyarhamah adik Sofiyyatul Ulya telah disahkan menghidap penyakit jangkitan paru-paru.

Marilah kita mendoakan ustaz Faizol dan ustazah Siti Anisah agar tabah dan sabar akan takdir ketentuan Ilahi dengan mengharapkan semoga adik sofiyya adalah saham dan tiket untuk kedua ibu-bapanya masuk ke syurga kelak, insyaALLAH.

Kenapa tak rogol saya? semoga dijadikan iktibar-HISBAH

Wednesday, December 1, 2010

Kisah benar ini  berlaku di US (Amerika Syarikat).
Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus.
Suatu malam perempuan  ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia  mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan  tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.
Disebabkan hari yang  agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak  gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan  bersaorangan.
Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan  tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan  agar Allah membantu dia di saat itu.
Masa dia melepasi tempat lelaki itu  bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik  lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke  rumahnya.
Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang  perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong  yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut.  Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah  perogol itu.
Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat  aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas  siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang  dicari.
Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol  tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat  lain).
Dia pun tanya perogol itu..
“Why don’t you do anything to  me on that night even though you know that I’m alone?”
(Kenapa awak tak buat  apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa  tu?)
Perogol tu jawab:
“No, you are not alone. That night I saw  two young man walking with you. One on your right side and the other one was by  your left side. If you were alone of course you will be my victim.”
(Tak,  awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan  awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang-sorang malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)
Wanita ni  rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat  Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia  baca malam itu.

Adik Sofiyatul Ulya, Semoga Cepat Sembuh

Tuesday, November 23, 2010



Hiba hati melihat anak kecil sedemikian. Mukanya menggambarkan penderitaan yang ditanggung.

Itulah adik Sofiyatul Ulya Mohd Faizol. Sofiya disahkan mengidap penyakit pneumonia (jangkitan pada peparu). X ray yang dikeluarkan menunjukkan tompokan kelabu pada peparu kanannya.

Kronologi

20/11/10

10.30 am
Tiba di Hospital Universiti Tanta. Saya yang pada mulanya sampai terlebih dahulu mencari Jabatan Pembedahan Kanak-kanak. Sesat di jabatan O & G (sakit puan). Puas bertanya siapakah Dr Isam yang dimaksudkan. Alhamdulillah, Najwa dahulu yang menjumpai doktor tersebut walaupun tiba lebih lewat.

Pengalaman melalu Jabatan O & G,memang tidak dapat dilupakan. Kebetulan saya sampai, terdapat seorang pekerja membuang sampah. Dalamnya penuh sampah berdarah. Kembang tekak kerana bau yang tidak menyenangkan. (Oh Tuhan..macam mana nak jadi Dr ni :D)

Sofiya mengalami batuk yang berpanjangan. Banyak cecair/lendiran yang keluar dari mulutnya. Sofiya juga demam. 39'C. Mukanya agak pucat. Kami bimbang. Umminya kadang kala mengeluarkan air mata.. Sayunya hati.

Kes Sofiya sebenarnya telah bertukar pihak. Doktor yang sepatutnya mengawasi, telah memberikan kes ini kepada Dr Muhammad Khidr. Kami hanya mengikut sahaja jururawat yang mengiringi. Terlalu banyak jabatan kami pergi. Ada yang melayan kami sekadar sahaja. Ada yang seolah-olah tidak mahu menerima kedatangan kami. Namun, Alhamdulillah, di Jabatan Paedatrik, kami diterima.

Dr yang bertugas membelek laporan kesihatan dan X ray yang ada. Sofiya diperiksa lagi keadaan jantungnya. Agak lemah. Dr Halah memberitahu Sofiya sepatutnya dimasukkan ke ICU (Intensive Care Unit). Tetapi malangnya, ICU di situ sudah penuh. Dengan hampanya,kami dibawa pulang ke Jabatan Pembedahan Kanak-kanak. Saya telah meninggalkan nombor telefon pada Dr Halah. Mudah-mudahan ada tempat kosong nanti.

Sofiya makin tenat. Kemuncaknya apabila air susu keluar mencurah dari hidung apabila menyusu. Jururawat yang bertugas memanggil doktor. Dr Muhammad terus mengarahkan Sofiya tidak boleh disusukan. Akhirnya, tangan mungilnya dicucuk canula jua. Intravenous Paediment fluid menggantikan susu umminya.Vein susah untuk dicari kerana agak kecil. Banyak tempat dicucuk dan dikeluarkan semula. (Agak sadis jururawat disini..hmm)

Sofiya diberikan bantuan oksigen (nebulizer). Ummi dan abinya pulang sebentar untuk membawa pakaian dan makanan lantaran untuk bermalam di hospital. Sangat menyedihkan apabila sampai satu tahap,Sofiya menangis tanpa suara..Penderitaan yang ditanggung bukanlah sedikit.

Ramai yang datang ziarah Sofiya sejurus lepas asar sehinggalah malam. Lebih kurang jam 10 pm, saya mendapat panggilan dari Dr Halah. Beliau memberitahu ada tempat kosong di ICU. Alhamdulillah!! Saya malu sendiri kerana bersangka buruk sebelum ini. Tidak yakin akan adanya tempat kosong di ICU lantaran Sofiya bukanlah anak Mesir.

Sofiya terus dibawa ke Jabatan Paedatrik. Di ICU,kelengkapan perubatan agak memuaskan. Tidak seperti di wad biasa tadi. Alhamdulillah.

Pemeriksaan awal menunjukkan oksigen dalam darahnya kurang. Sebab itulah Sofiya agak pucat. Saya puas hati dengan layanan dan jagaan di ICU.

Kami pulang lebih kurang jam 12 malam.

Semoga Sofiyatul Ulya terus kuat dan kembali sihat seperti biasa.Sama-sama kita doakan.. :)
 
sumber: http://nourelhousna.blogspot.com/

Warga Wafidin Dilarang Membawa Arab Masuk Ke Rumah

Berikutan timbulnya tanda-tanya kenapa kita rakyat Malaysia di Mesir boleh atau tidak membawa tetamu arab masuk ke rumah, pihak HISBAH pada undang-undangnya telah termaktub bahawa tidak dibenarkan membawa masuk orang arab ke dalam rumah.

Ini kerana banyak masalah yang sebelum ini timbul seperti kes kecurian berlaku kepada tuan rumah, ahli bait tidak selesa dengan kehadiran orang arab, dan banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan apabila membenarkan orang arab yang tidak dikenali dengan lebih mendalam perihalnya. Sehinggakan orang memperbaiki internet pun kita perlu berhati-hati.Banyak kes berlaku tahun lepas yang melibatkan kehilangan harta-benda dan wang genih di kalangan pelajar Malaysia di sini.

Pihak HISBAH memperingatkan lagi terutama kepada pelajar-pelajar baru bahawa kita tidak digalakkan sama-sekali membawa orang arab masuk ke rumah kita supaya perkara yang tidak di ingini berlaku.Begitu juga apabila kita ke rumah orang arab hendaklah berteman dan dilarang juga tidur di rumah orang arab terutama melibatkan akhawat. Ini bertujuan untuk menjaga maruah terlebih penting daripada menjaga hubungan sesama orang arab itu sendiri.

Semoga dengan penjelasan ini dapat kita semua dapat berjaga-jaga diri kita dan kawan-kawan kita daripada terjerumus dalam perkara yang tidak diingini berlaku. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.Pendekatan HISBAH adalah mencegah mungkar (perkara maksiat) sebelum terjadi lebih baik mengubatinya apabila berlaku sesuatu perkara buruk. Semoga Allaah menjaga kita semua sepanjang keberadaan kita di bumi ambiya' ini.

HISBAH TANTA: Selamat Berkorban

Tuesday, November 16, 2010

Salam eiduladha buat seluruh ahli Tanta. Semoga dengan mengorbankan unta dan kambing di bumi Tanta, kita juga dapat mengikut jejak langkahnya iaitu sanggup berkorban mewakafkan diri untuk gerak kerja islam iaitu menjaga suasana harmoni dengan bumi Tanta ini dengan menjalankan amar makruf dan nahi mungkar (menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran dan kemaksiatan).

Kami dari barisan ajk HISBAH sesi ini mengucapkan selamat Hari Raya Eiduladha, berjuang perlukan pengorbanan,tanpa pengorbanan jangan bicara tentang perjuangan.salam perjuangan...

UBM: SALAM EIDUL ADHA.

DARI KAMI SELURUH AHLI UNIT BAIT MUSLIM TANTA (UBM PMRAM CAW TANTA) MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDUL ADHA BUAT SELURUH AHLI DPMT DAN PCT, SEMOGA KEDATANGAN IA TAHUN INI MENJADIKAN KITA INSAN YANG SANGGUP BERKORBAN UNTUK MENINGGIKAN  DAN DAULATKAN ISLAM DI ATAS MUKA BUMI INI.

Salam eiduladha..
Maaf zahir batin..
Kullu am wa antum bi khair..

HIDUPKAN HARI JUMAAT DENGAN USRAH

Saturday, November 13, 2010

UBM Tanta meneruskan aktiviti mingguannya dengan memulakan usrah UBM yang melibatkan semua pasangan berkahwin.Hari Jumaat adalah ketetapan daripada PMRAM pusat sendiri supaya menghidupkan usrah dengan nama lainnya muzakarah berkelompok(MB) di seluruh cawangan BKAN mahupun DPM.

Liqo' bermula selepas asar di rumah us Mohamad Anuar Mohamad Kamal di Istad di meriahkan lagi dengan kedatangan pasangan baru iaitu us Sb Islami bersama zaujah yang baru sahaja mendirikan rumahtangga dan baru sampai beberapa hari yang lepas.

Antara pengisiannnya adalah kalam aluan daripada pengarah UBM, us Faizul Endut seterusnya membuka sesi taaruf dengan mengalu-alukan kedatangan pasangan baru dan akhirnya menjemput us Abdullah Fahmi sebagai mengisi dengan mengupas tajuk pengorbanan dan amalan bulan Zulhijjah.

Dalam ucapan, beliau mengatakan bahawa kita perlu berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan juga jiwa-raga untuk agama dan di antara amalan dalam bulan Zulhijjah adalah pada 10 Zulhijjah menyembelih binatang ternak semata-mata kerana Allah taala sahaja bukan kerana manusia.

Majlis diakhiri dengan taklifan untuk minggu depan dan jamuan makan yang disediakan oleh us Anuar dan keluarga.Semoga diberkati rezeki ustaz sekeluarga.

Pulang Ke Tanah Air

Selasa, 9 November ahli UBM PMRAM cawangan Tanta pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajiannya dalam jurusan syariah islamiah. Ustaz Khuzaimah sekeluarga di antara ahli yang aktif dalam berpesatuan khususnya dalam UBM Tanta.

"Kepulangan beliau sekeluarga ke tanah air mengurangkan lagi ahli UBM, akan tetapi yakin dan percaya konsep patah tumbuh hilang berganti sangat diharapkan untuk masa mendatang bagi memastikan perjalanan UBM ini". kata pengarah UBM sesi ini, us Mohd Faizol.

Pihak UBM Tanta dan juga DPMT mendoakan ustaz dan keluarga bahagia dan mengharapkan pembinaan keluarga muslim contoh apabila bersama masyarakat.

UBM: Mengorak Langkah

Friday, November 12, 2010

7 November, Pertemuan pertama penuh bermakna buat seluruh ahli UBM PMRAM cawangan Tanta. Pertemuan di kediaman pengarah UBM, us Faizol Endut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengerusi DPMT, alfadhil us Sulaiman Ismail.

Majlis dimulakan dengan kalam aluan daripada pengarah UBM sesi ini dengan mengalukan kedatangan sahabat-sahabiah ke dalam liqo UBM Tanta. Majlis diteruskan dengan sesi taaruf semua yang hadir dan memberi penghormatan kepada pasangan us Abdullah Fahmi (juara AQ tu..) bersama pasangan dan anak, pasangan baru yang tinggal di bumi Tanta.

Majlis juga meraikan pasangan us Khuzaimah bersama isteri dan anak dengan memberikan ruang untuk ucapan dan kalam taujihat sebelum balik Malaysia dalam masa terdekat ini. Dalam ucapan, beliau menekankan tentang kehidupan bermasyarakat sepanjang keberadaan di Mesir ini, melibatkan progam UBM mahupun DPMT.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan pengerusi DPMT alfadhil us Sulaiman Ismail dengan harapan supaya ukhwah dikalangan mutajawwijin di Tanta khasnya saling terjalin erat.Majlis pada akhirnya diakhiri dengan sedikit jamuan daripada tuan rumah.

Membina Kecemerlangan Rumahtangga Dan Akademik

Friday, November 5, 2010

 Oleh : Salwani binti Mohamed Daud (B.A Hons. Syariah, Al-Azhar)

Perkahwinan adalah salah satu fitrah manusia yang menggabungkan dua jiwa antara lelaki dan wanita dengan tujuan utama untuk mencari keredhaan Allah SWT dan melahirkan zuriat atau anak-anak yang akan menyambung kembali tali kekeluargaan. Melalui perkahwinan inilah maka bagi seorang suami dan isteri berperanan besar untuk memikul amanah dan tanggungjawab masing-masing bagi mewujudkan suasana rumahtangga yang bahagia dan bertaqwa kepada Allah SWT. Persediaan yang cukup tapi perlu diteliti samada dari segi ilmu rumahtangga mahupun kewangan sebelum melangkah ke alam perwahwinan.

Rumahtangga yang harmoni disulami dengan cahaya kerohanian merupakan rumahtangga yang cemerlang apatahlagi waqi’ kita sebagai penuntut ilmu sentiasa inginkan prestasi akademik yang cemerlang walaupun sudah bergelar suami atau isteri.

Sebelum Kahwin
Cemerlang yang ingin dikupas di sini ialah cemerlang dalam pelajaran dan rumahtangga. Sebenarnya untuk membina rumahtangga yang cemerlang perlu dibentuk sebelum kita memasuki alam perkahwinan lagi, iaitu semasa tempoh berkenalan atau bertunang. Dalam tempoh inilah bagi ikhwah dan akhawat perlu menjaga ikatan itu dari unsur-unsur yang membawa kepada kemaksiatan seperti sms yang tidak syarie, perbualan telefon yang terlalu kerap tanpa urusan penting, keluar bersama, panggilan atau menggunakan bahasa cinta yang mengasyikkan dan sebagainya. Sehinggakan sudah menjadi kelaziman bagi pasangan yang belum ada ikatan yang sah memanggil ‘abang’ dan ‘sayang’ kepada pasangannya. Pernah saudara terdekat penulis menyatakan sesalan apabila sudah terbiasa dengan panggilan ini sebelum berkahwin dengan kenyataannya ‘sudah basi’ atau sudah kurang manisnya di malam pertama. Apabila kita mampu mengawal diri dan nafsu sebelum berkahwin maka kita sudah dikatakan cemerlang peringkat pertama.

Berumahtangga Ketika Belajar
Setelah kita masuk ke marhalah kedua dalam pembinaan rumahtangga maka di sana akan bertambahlah bebanannya. Apatahlagi bila seseorang itu belum tamat kuliahnya. Ketika ini kita mahukan kecemerlangan yang seiring antara pelajaran dan rumahtangga.
Kecekapan seseorang dalam menyelesaikan urusan rumahtangga perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi kita ini yang sekaligus memikul amanah du’at ilaLlah. Sepatutnya kita memberi qudwah kepada orang lain iaitu berjaya mencapai keharmonian rumahtangga di samping itu kita tidak mengabaikan pelajaran.

Antara risiko perkahwinan semasa belajar ialah kegagalan dalam pelajaran. Ini adalah perkara biasa kita dengari di kalangan pasangan yang telah memasuki alam perkahwinan, bahkan perkara ini menyebabkan sesetengan ikhwah mahupun akhawat takut untuk memasuki alam perkahwinan kerana dibimbangi tidak lulus dalam pelajaran. Kalaupun tidak gagal, setidak-tidaknya berlaku kemunduran di dalam pelajaran.

Risiko kedua ialah kegagalan mencapai keharmonian rumahtangga. Apa yang diharapkan oleh seorang suami atau isteri dalam pembinaan rumahtangga bukan hanya kasih sayang dan tempat bermanja, bahkan perkara yang amat perlu diberi perhatian di dalam dan di luar rumah di samping tidak mengabaikan hak layanan terhadap suami bagi seorang isteri. Bagi suami pula sama-sama membantu isteri dalam kerja-kerja rumah. Apabila pengurusan rumah tidak teratur, banyak kerja-kerja tertangguh, tidak cekap dan cuai dalam memperuntukkan masa bagi satu-satu kerja, maka keharmonian rumahtangga sedikit-sebanyak akan tergugat.

Kedua-dua risiko ini perlu ditangani agar kita mampu mencemerlangkan antara pelajaran dan rumahtangga melalui perancangan yang rapi, gunakan waktu dengan sebaik mungkin dan menggunakannya dengan berkesan. Kepintaran seseorang itu walau setinggi mana sekalipun, tidak menjamin dia akan berjaya jika dia gagal mengawal atau menggunakan masa secara berkesan.

Taklifan Ibu Bapa
Cemerlang yang ketiga ialah cemerlang sebagai ibubapa. Apabila kita telah memiliki anak, tanggungjawab mula bertambah, pengurusan rumahtangga perlu lebih teratur. Suami isteri perlu bekerjasama dalam menguruskan anak. Bagi ibubapa, peruntukkanlah waktu untuk membaca dan menambah ilmu sedikit demi sedikit ketika anak sedang tidur di samping menggunakan masa itu dengan melakukan tugasan rumah. Ibubapa perlulah sabar dalam menangani risiko anak-anak yang pelbagai ragam seperti berjaga malam, sentiasa menangis atau yang terlalu aktif. Cara yang terbaik ialah dengan mengingatkan diri bahawa anak adalah rezeki kepada kita dan meletakkan diri kita di tempat ibu dan ayah kita yang menjaga kita semasa kecil. Jika tanggungjawab makin bertambah, maka kita akan lebih berdisiplin dengan waktu dan kerja kita. Ibubapa yang cemerlang akan sentiasa cuba memperbaiki keupayaan dan kemahiran mereka dalam mendidik anak-anak dengan selalu membaca bahan-bahan atau buku-buku keibubapaan, sentiasa bertanya atau berbincang dengan orang yang lebih berpengalaman.

Kemahiran Sosial dan Berpersatuan
Kecemerlangan yang keempat ialah cemerlang dalam persatuan dan sosial. Dalam kita mengharungi kehidupan berumahtangga di samping memegang status sebagai pelajar, kita tidak dapat lari daripada berpersatuan. Ini kerana, persatuan merupakan satu cabang ilmu dan salah satu wasilah untuk kita berhadapan dengan masyarakat dan apabila kita berada dalam alam kerjaya kelak. Bagi penulis, berpersatuan itu perlu walaupun selepas bergelar suami ataupun isteri. Kita sering mendengar ungkapan ’waktu adalah kehidupan’ dan ’kewajipan lebih banyak dari waktu’. Maka semasa belajarlah waktu untuk kita mencari pengalaman menguruskan masa belajar, berumahtangga dan berpersatuan. Jika kita tidak membiasakan diri kita dengan perkara-perkara luar dari urusan rumahtangga, maka apabila kita pulang nanti kita akan kekok untuk masuk dalam masyarakat. Kurangnya thaqafah dan lebih penting apabila kita sudah bekerjaya sepenuhmasa, rumahtangga akan sedikit kucar kacir jika kita tidak pandai menguruskannya.

Apa yang dinyatakan di atas merupakan panduan bersama. Bagi penulis sendiri yang juga masih belajar untuk menguruskan rumahtangga dengan baik, banyak yang perlu dimuhasabahkan lagi. Selaku pelajar agama, kita merupakan role-model untuk membuktikan kita mampu cemerlang kepada masyarakat supaya pandangan berkahwin semasa belajar bukan suatu tindakan yang negatif. Wallahu’alam.

Antara Panduan Praktikal Berumahtangga Ketika Belajar:
1. Senaraikan kerja-kerja harian seperti bermula daripada bangun tidur pada awal pagi sehingga waktu tidur semula pada waktu malam.
2. Cuba mendisiplin diri dengan jadual kerana dengan adanya jadual kita dapat mengelakkan daripada berlakunya pembaziran waktu dalam memikirkan apakah kerja yang patut didahulukan dan dikemudiankan.
3. Disiplin dengan waktu solat.
4. Adakan menu masak harian supaya kita tidak berlama-lama di dapur.
5. Senaraikan barang-barang keperluan yang akan dibeli.
6. Tentukan satu hari ertentu untuk mencari barang keperluan.
7. Adakan jadual belajar supaya kita tidak leka dengan hanya menumpukan kepada rumahtangga semata-mata.
8. Bahagikan masa mengikut keutamaandengan menyeimbangkan peruntukan masa samada untuk diri,belajar dan keluarga.Walau sesibuk mana sekalipun,masa belajar hendaklah ada walaupun sedikit.Anda perlu bijak mencaridan mengintai waktu terluang untuk menbaca atau mengulangkaji pelajaran.Contohnya semasa menunggu bas ke kuliah atau ke pasar, semasa menunggu mesyuarat atau program bermula dan lain-lain.
9. Kenal pasti ke mana masa banyak dihabiskan.Sebenarnya rasmi yang tidak sedar masanya dihabiskan begitu sahaja, seprti berbual kosong,melepak dan lain-lain.

Artikel ini dipetik dari Suara Kampus Edisi Kelantan (SKEK) Bil. 36, November 2006.

Penerangan HISBAH kali ke-2 kepada ahli PCT

Monday, November 1, 2010

Perubatan Cawangan Tanta sekali lagi menjemput wakil HISBAH untuk membentangkan berkenaan unit HISBAH bersempena progam Tautan Mahabah PCT '10. Penerangan itu dibentangkan sendiri oleh pengarah HISBAH PMRAM Cawangan Tanta, ustaz Zahidi Mat Noh.

Banyak perkara yang disentuh oleh beliau antaranya berkaitan dengan musyrif. Setiap akhwat yang keluar pada waktu malam perlu kepada musyrif dan musyrif ini adalah dikalangan mereka yang dilantik oleh unih HISBAH sendiri.Itupun bagi akhwat yang betul-betul berkeperluan untuk keluar malam seperti sakit atau datang ke Bait Izzah untuk program PCT.

Antara lainnya lagi beliau memperingatkan tentang berjaga-jaga dengan orang arab apabila berurusan supaya tidak tertipu ataupun orang arab tidak mengambil kesempatan ke atas ahli DPMT mahupun PCT di bumi Tanta ini.

Agenda itu diakhiri oleh ucapan pengerusi DPMT, al-fadhil ustaz Sulaiman Ismail membentangkan tentang bab keselamatan di Mesir ini. Semoga program yang sebegitu meriah ini dirancang untuk adik-adik warga Perubatan di Tanta dapat menyatukan ahli PCT yang bertemakan SATU HATI SATU PCT.

Mesyuarat pertama HISBAH di peringkat pusat Kaherah

Friday, October 22, 2010

Ketua HISBAH Tanta, ustaz Zahidi Mat Noh telah menghadiri satu pertemuan penting yang menghimpunkan seluruh ketua HISBAH di peringakat BKAN dan DPM. pertemuan tersebut berlangsung di rumah Perak, di Hayyu Sabei' bermula jam 1 sehingga jam 4petang.

Pertemuan tersebut membincangkan beberapa perkara dan yang terpentingnya adalah untuk memperkasakan HISBAH di semua peringkat, pusat mahupun muhafazah. Rentetan itu, HISBAH pusat akan mengadakan penerangan secara menyeluruh dan akan turun di seluruh Mesir bagi memberikan penjelasan kepada ahli berkenaan masalah HISBAH ini. 

Keputusan juga diambil akan mengadakan rush besar-besaran yang melibat seluruh ajk HISBAH akan turun kepada beberapa tempat dan kawasan yang dikira kawasan sasaran pelajar Malaysia melakukan kemaksiatan.

Buat warga tanta diingatkan supaya melaporkan terus kepada ketua HISBAH, jika terdapat maksiat yang dilakukan oleh pelajar kerana peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak.

Ustaz Hasbul dan keluarga pulang ke tanah air

Friday, October 8, 2010

Walaupun agak terlewat menyebarkan berita dalam medium ini, akan tetapi pihak UBM PMRAM cawangan Tanta mengucapkan selamat pulang ke tanah air buat ustaz Hasbul Nizal Zakaria dan zaujah bersama seorang puterinya.

Beliau banyak mencurahkan bakti berkhidmat kepada persatuan dan kepulangan beliau ke tanah air sangat dirasai oleh ahli DPMT mahupun PERUBATAN (PCT).

Semoga kepulangan ustaz Hasbul sekeluarga dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat Malaysia yang ketagihkan ilmu dan pengamalan mengikut acuan Islam. Semoga thabat berjuang di tanah air.

HISBAH: JADUAL MUSYRIF KE MATOR

Sekarang fatrah ahli DPMT dan PCT kembali semula ke Tanta. Boleh dikatakan setiap hari ada ahli yang pulang. Atas sebab tugas dan tanggungjawab menjaga kemaslahatan semua, pihak HISBAH telah pengatur dan bertindak sebagai menentukan khidmat musyrif ke mator.

HISBAH menganggap penting dan perlu kerana:

-Untuk pastikan keselamatan ahli DPMT  dan PCT supaya selamat sampai ke rumah masing-masing
-Mencegah daripada awal supaya tidak berlaku bergaulan bebas antara ikhwah dan akhwat.
-Bagi memastikan apabila akhwat perjalanan luar tanta tidak berseorangan dan minimumnya adalah 2 orang.

Sebarang masalah sila berhubung dengan pengarah HISBAH, saudara Zahidi Mat Noh di talian 0116534729.

HISBAH PMRAM cawangan Tanta dan Perubatan Cawangan Tanta(PCT) mengucapkan selamat kembali ke bumi Tanta buat seluruh ahli.

"Mengajak kepada perkara baik dan mencegah perkara mungkar adalah kerja kita semua"

Kepulangan ahli UBM ke Tanah Air

Wednesday, September 29, 2010

28 September, ustaz Nahi sekeluarga telah bertolak balik malaysia diiringi dengan ahli UBM dan orang-orang bujang membanjiri rumahnya sejak dari siangnya lagi. Turut serta menghantar kepulangan ustaz Nahi adalah exco DPMT dan juga pengarah UBM bersama sahabat-sahabaiah terdekat dengan 2 buah tremco. Ustaz Nahi juga adalah mantan ketua HISBAH Tanta pada sesi lepas.Pihak UBM mengucapkan selamat pulang ke tanah air dan selamat berkhidmat kepada masyarakat.
 Tinggal kenangan: Ustaz Nahi bersama keluarga

Turut bersama di lapangan terbang adalah presiden PMRAM bersama BP PMRAM yang turun menghantar ustaz Azrul Ismail, mantan bp PMRAM yang juga pulang ke tanah air. " SEMOGA TERUS THABAT DI MALAYSIA" ujar presiden.

Sekitar Sambutan Hari Raya Bersama Unit Bait Muslim Tanta (UBMT)

Sambutan agak meriah, masing-masing ahli UBM PMRAM cawangan Tanta berlumba-lumba membuat kebajikan dengan mengadakan rumah terbuka Eidulfitri. Seronoknya bermula 1 Syawal di Istad Tanta, suasana dipagi raya. Seluruh ahli UBM Tanta bersua-muka bertemu mata, dengan gelagak anak-anak yang sentiasa ceria.
Gelak-ketawa di pagi raya, Istad Tanta
Sebahagian ahli UBM bersama ketua HISBAH menghadiri rumah terbuka akhwat perubatan Tanta
Ketua UBM PMRAM cawangan Tanta sesi 2010/2011 bersama zaujah dan anak
Gelagat anak-anak kecil bersama bapak-bapak
Kenangan dipagi Syawal Ahli UBM PMRAM Cawangan Tanta
Kumpulan nasyid pakdam Tanta

Semoga ukhwah yang terbina akan kekal selamanya sehingga ke anak cucu kita akan datang. Salam ukhwah fillah daripada UBM Tanta dan tidak terlambat ingin mengucapkan selamat Hari Raya daripada kami UBM kepada seluruh ahli PMRAM dan PERUBATAN. Maaf zahir dan batin.

PENERANGAN UBM DAN HISBAH KEPADA AHLI BARU PCT

Sunday, September 26, 2010

UBM dengan kerjasama HISBAH PMRAM cawangan Tanta telah dijemput oleh Perubatan cawangan Tanta(PCT) untuk pembentangan tentang peranan dan tanggungjawab kedua-dua unit tersebut bersempena Program Sambutan Mahasiswa-mahasiswi Baru peringkat Perubatan cawangan Tanta.

Pengarah UBM, ustaz Mohd Faizol memulakan slot pembentangan selama 30 minit dengan memperkenalkan peranan sebenar UBM ini diwujudkan. Diikuti dengan pengarah HISBAH, ustaz Zahidi mendedahkan tugas sebenar HISBAH dan etika berkenaan dengannya.

Antara poin penting yang dititikberatkan oleh HISBAH adalah tentang musyrif untuk akhwat yang keluar pada malam hari atas sebab-sebab yang munasabah sahaja seperti mengikuti program persatuan di Bait Izzah. Akhwat perlu mengikuti etika dan jadual musyrif yang ditetapkan oleh HISBAH. 

Program itu berakhir pada jam 10.30 malam di susuli dengan jamuan makan. Pihak UBM dan HISBAH mengucapkan ahlan-wasahlan kepada adik-adik baru daripada perubatan. Semoga kerjasama DPMT dan PCT dalam menjaga bumi Tanta daripada ahlinya melakukan maksiat dapat diatasi.

Kalam Pengerusi DPMT

Saturday, September 25, 2010

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi besar Muhammad S.A.W, para sahabat, alim-ulamak seterusnya pejuang-pejuang penyambung mata rantai perjuangan islam seluruhnya.
 Bersyukur kita kehadrat Allah Azzawajalla kerana dengan limpah inayahNYA kita dipanjangkan umur dikekalkan nikmat iman dan islam dalam menjadikan kehidupan kita seluruhnya sebagai individu muslim.
 Bersempena dengan pelancaran blog baru gabungan mantap UBM dan HISBAH PMRAM cawangan Tanta, saya mengajak kita semua merenung sepotong ayat Allah taala yang berbunyi:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةُُ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلاَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan Ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran:104).

Bertepatan dengan ayat di atas, tahun ini pimpinan DPMT meletakkan UBM dan HISBAH dalam satu barisan dan seangkatan dalam menjayakan konsep amar ma'ruf nahi mungkar. Satu tugasan yang sangat besar dan berat yang perlu dimainkan oleh seluruh ahli termasuk perubatan bagi melonjakkan islam dalam masyarakat khususnya di bumi Tanta.
Tahun lepas kita melihatkan UBM keterhadapan yang menyatukan ahli UBM peringkat Tanta, alhamdullah. Akan tetapi tahun ini kita meletakkan sasaran UBM dan HISBAH  juga berkerja keras dalam mencegah kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku di bumi tanta ini.
 Justeru, kita mengharapkan daripada ahli pengajian islam (seluruh ahli PMRAM cawangan TANTA) dan juga daripada Perubatan cawangan Tanta( PCT) memberi kerjasama  yang sebaiknya kepada saudara Faizol Endut (pengarah UBM) dan juga saudara Zahidi Mat Noh (pengarah HISBAH) dalam menandatangani  isu ini.

Semoga bumi tanta ini diberkati Allah, dengan menjauhi daripada perkara maksiat dan ditumbuhi dengan perkara-perkara berbentuk kebaikan. 

 “KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”.

MUHD SULAIMAN BIN ISMAIL
Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta
sesi 2010/2011





Ketua Unit Bait Muslim(UBM) dan Ketua Unit Hisbah Tanta

Saturday, September 18, 2010

Berikut adalah senarai pengenalan ketua unit bagi Ketua Unit Bait Muslim(UBM) dan Ketua Unit Hisbah Tanta:


Ketua Unit Bait Muslim Tanta(UBM Tanta)

Ustaz Faizol b.Endut,berasal dari Terengganu.Menuntut pengajian dalam bidang Usuluddin Universiti Al-Azhar Tanta.
















Ketua Unit Hisbah Tanta

Ustaz Mohd Zahidi b.Mat Noh,berasal dari Perak.Menuntut pengajian dalam bidang Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar Tanta.








Salam Perjuangan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

          Alhamdulillah setinggi kesyukuran kehadrat Allah subhanahu wata'ala di atas limpah rahmat dan kasih sayangNYA dapat bersama-sama kita dalam misi tarbiah menuju keredhaan Ilahi.Tertubuhnya laman blog ini hasil usaha kita untuk memartabatkan lagi Islam itu sebagai agama yang tinggi dan melaksanakannya dengan penuh ikhlas agar kita beroleh keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.Laman blog ini merupakan satu wadah untuk memperkenalkan kepada mahasiswa-mahasiswi di bumi Mesir ini dengan satu badan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan sosial para pelajar penuntut Malaysia.
        Tugas utama badan Unit Bait Muslim(UBM) membantu para ahli yang ingin berkahwin dan membantu mereka yang mengalami masalah dalam urusan mencari jodoh.Manakala Unit Hisbah pula lebih tertumpu kepada gerak kerja memantau adab tatasusila dan menjaga para mahasiswa-mahasiswi dari berkelakuan yang tidak syar'ei di bumi kinanah Mesir ini.Kedua-dua unit ini berada di bawah kelolaan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) dan juga di peringkat cawangan PMRAM iaitu PMRAM cawangan Tanta.